Tuesday 10 January 2012

kREATIVITI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

DEFINISI KREATIVITI

Perkataan kreativiti berasal daripada perkataan bahasa Latin iaitu ”creare” yang membawa maksud ”membuat”, manakala daripada perkataan Greek pula ”creare” bermaksud ”memenuhi”. Menurut Kamus Dewan(2002) pula mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan atau kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan.

Kreatif pula adalah mempunyai kebolehan untuk mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Kesimpulannya kreativiti adalah kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli. Terdapat juga yang mendefinisikan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tiada atau tidak wujud sebelumnya.



KONSEP KREATIVITI

Ellis Paul Torrance atau lebih dikenali sebagai Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang tersohor dalam bidang kreativiti. Karya-karya penyelidikannya dalam mendalami bidang ini telah berjaya mengembangkan bidang kreativiti dan beliau telah diiktiraf dengan gelaran Bapa Kreativiti. Beliau mengatakan bahawa ujian IQ bukanlah satu-satunya cara mengukur daya kreativiti seseorang dan beliau telah memperkenalkan instrumen untuk menguji tahap kreativiti seseorang menggunakan ”Torrence Test of Creative Thinking”. Terdapat juga beberapa pendapat daripada tokoh Seni Visual tentang kreativiti. Antaranya adalah ;

Lowenfeld(1975), beliau percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Penyataan ini disokong dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka dan penuh dengan perasaan ingin tahu.

June King McFee mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru atau mampu mengolah idea baru yang lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika. Seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

Carl Rogers pula menggariskan 5 faktor di mana ianya mendorong kepada pembentukkan kreativiti sama ada dalam bidang seni atau sains. Faktornya adalah seperti keterbukaan dan fleksibel kepada pengalaman, menikmati kehidupan yang dialami, menghargai diri sendiri, mengamalkan kebebasan dan menjadi individu yang peka dan sensitif dengan persekitaran.



CIRI – CIRI KREATIVITI DALAM SENI VISUAL

Seseorang kreatif dikatakan sebagai insan yang mempunyai daya kreativiti, imaginatif dan nilai estetik yang tinggi. Pendidikan Seni bertujuan untuk melahirkan ramai insan yang mempunyai kreativiti dengan melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif dan daya kreativiti yang unggul. Oleh itu, ciri-ciri seseorang yang mempunyai nilai kreativiti adalah seperti berikut :

Mempunyai daya persepsi yang tinggi dan mereka peka dan gemar untuk melihat kekuatan nilai dan makna pada objek dan alam, mendengar bunyi kehidupan di sekeliling mereka, sedar akan apa yang dirasa dan disentuh serta peka terhadap sesuatu bau yang dihidu.

Selain itu, ciri-ciri seseorang yang kreatif adalah mempunyai daya dan kemampuan untuk membina/mencipta idea sendiri ataupun menggubah sesuatu idea/benda yang asal kepada sesuatu yang baru atau berbeza dari yang asal. Ia boleh dilakukan dengan penggunaan teknik atau gaya yang berbeza dengan memanipulasikan idea tersebut dengan pelbagai cara. Seseorang itu juga perlu meneroka dan mencuba dengan pelbagai dan pendekatan dengan cara tersendiri bagi menyelesaikan permasalahan sesuatu idea/ciptaan tersebut dan untuk itu, perlulah mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan berupaya berfikir secara ‘extraordinary’(lebih dari biasa)

Seseorang yang kreatif juga haruslah suka mencuba, meneroka sesuatu yang baru samada dengan menggunakan cara-cara baru dan inventif menggabungkan idea dan imej. Individu tersebut juga harus mampu mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari biasa. Oleh itu, dia haruslah berupaya berimaginasi dan mewatakkan sesuatu dan berfikiran tulen dan asli dalam menghasilkan sesuatu.

Suka untuk mengkaji dan menyelidik serta dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan/idea juga antara ciri-ciri seorang yang kreatif. Dia juga akan selalu bertanya dan mencari penjelasan bagi sesuatu persoalan serta akan berusaha mencari penemuan baru mengenai hubungkait antara idea dan bahan.

Selain daripada itu juga, seseorang yang kreatif juga peka terhadap nilai estetik. Seseorang itu lebih tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikkan, keunikkan, kelainan, dan keharmonian terhadap sesuatu objek, alam dan kehidupan. Individu tersebut juga dapat merasakan nilai rentak, irama, dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan.

Akhir sekali ialah ciri-ciri keyakinan diri. Seseorang yang kreatif dapat menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan. Ia juga boleh berdikari dan mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat pernyataan diri.



TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI DALAM SENI VISUAL

Terdapat beberapa pendapat tentang tahap perkembangan kreativiti dalam seni visual. Pendapat pertama adalah daripada Peter Mc Keller (1967) yang menyatakan tahap perkembangan kreativiti sebagai berperingkat iaitu peringkat persediaan, pengeraman, penjelasan, penentuan dan pencernaan.

Pendapat seterusnya pula adalah daripada Viktor Lowenfeld (1969). Beliau menyatakannya sebagai tahap-tahap perlakuan dan tindakan iaitu kepekaan, kelancaran, keanjalan, memberi makna dan pengertiaan baru, analisis, sintesis, kejelasan dan ketekalan mengorganisasi.

Pendapat seterusnya oleh Poincar (1970) ianya menjelaskan peringkat-peringkat berikut sebagai proses kreativiti iaitu mengenalpasti, penjelasan, tidak pasti, pandag timbang dan rasionalisasi dan pendapat dari Laura H.Chapman yang menyatakannya dalam bukunya berjudul ‘Approach to Art in Education’. Didalam buku tersebut menyatakan kajian tentang teori-teori peringkat penghasilan kerja dan tahap kreativiti dan menjelaskan bahawa proses artistik adalah merupakan fasa-fasa tidak semestinya sentiasa bersifat tekal dan sekuens. Kandungannya menjelaskan bahawa tahap perkembangan kreativiti dan artistik dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu perwujudan idea, perkembangan dan penghalusan idea dan kemahiran idea.

Menurut Fisher pula, perkembangan kreativiti dalam pendidikan seni visual terbahagi kepada lima peringkat. Pertama ialah peringkat ransangan. Minda pelajar perlu diransang dengan pelbagai soalan kritikal seperti apa, mengapa, siapa, dimana dan bagaimana. Contohnya seperti ‘Mengapa warna yang gelap akan menampakkan ruang menjadi kecil dan sempit?’, ‘bagaimankah untuk menampakkan permukaan dan ruang sesuatu menjadi luas dan terang?’. Peringkat kedua ialah Peringkat penerokaan. Peringkat ini terjadi apabila peringkat ransangan telah berjaya meransang pelajar untuk berusaha menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru berdasarkan permasalahan yang timbul. Dengan ini, ianya akan mengajak pelajar tersebut untuk meneroka permasalahan tersebut bagi menyelesaikannya. Perngkat ketiga pula ialah peringkat perancangan. Peringkat ini akan menggalakkan pelajar untuk berfikiran kreatif untuk merancang dan memetakan semua aktiviti dan merekodkan segala kemungkinan. Aktiviti pada peringkat ini akan dilakukan menggunakani dua cara iaitu ; perancangan secara verbal melalui perbincangan, pemerhatian, interaksi dan sebagainya dan perancangan secara visual melalui visual, graf, imej lukisan dan sebagainya. Peringkat keempat pula ialah peringkat aktiviti. Ianya bermula dengan set idea. Ianya untuk melahirkan pemikiran kreatif perlu merancang segala aktiviti. Pada peringkat ini segala perancangan dibantu melalui persoalan-persoalan seperti “bagaimana harus kita mengambil tindakan keatas cadangan tersebut”. peringkat terakhir adalah peringkat kajian semula. Peringkat ini menilai keberkesanan tindakan yang telah diambil bagi proses penambahbaikan selain melihat pencapaian objektif kerja. Pelajar digesa memberi pendapat dan komen terhadap apa yang telah dilalui sebagai satu bentuk refleksi diri.



KAEDAH PENJANAAN KREATIVITI

Laura H.Chapman meletakkan tiga kaedah, iaitu yang pertama ;

kaedah penjanaan idea (inception of idea). Ia beerti, dalam penjanaan sesuatu idea, pengkarya perlu menetapkan objektif, haluan dan tujuan penghasilan karya. Kedua adalah pengolahan dan pemurnian (elaboration and refinement). Ianya melakukan satu proses pengolahan dan pemurnian idea bagi mendapatkan kajian visual yang lebih sistematik dan tersusun. Proses ini untuk memastikan imej atau visual yang hendak dihasilkan atau dipilih bertepatan dengan tema dan objektif penghasilan. Akhir sekali adalah kaedah kemahiran menggunakan bahan (execution in medium). Kaedah ini adalah dengan memberi bimbingan penggunaan bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan diberikan melalui demonstrasi menunjukkan cara agar pemilihan bahan mempunyai makna dan nilai tersendiri.



SIFAT-SIFAT KREATIVITI

Terdapat beberapa sifat kreativiti menurut Calvin W.Taylor, iaitu ;

Kreativiti bersifat ekspresif. Kreativiti ini berlaku secara rawak dan bebas. Kreativiti ini juga boleh dilihat melalui lukisan kanak-kanak yang dihasilkan secara spontan dan bebas mengikut kemampuan sesuai dengan perkembangan fizikal yang belum stabil. Pada peringkat ini, gambaran dihasilkan menggunakan garisan, lorekkan dan contengan yang mudah. Kreativiti bersifat penghasilan. Kreativiti ini terhasil melalui proses penambahbaikkan kemahiran sedia ada kepada kaedah yang lebih sistematik dan tersusun rapi. Seterusnya adalah kreativiti bersifat inventif. Ianya merujuk kepada keupayaan mencipta benda atau objek melalui proses eksperimentasi. Pada peringkat ini, motivasi dan galakkan diberi untuk mengelakkan timbul rasa bosan dan putus asa dalam diri pelajar. Selain daripada itu juga, kreativiti bersifat inovatif. Ianya melibatkan kemahiran pengubahsuaian kepada konsep-konsep asas sedia ada kepada kepada ideaa baru yang lebih bermakna. Akhir sekali adalah kreativiti bersifat emergen. Ianya merupakan bentuk kreativiti tinggi di mana keseluruhan prinsip formal diterjemahkan dan muncul dalam bentuk abstrak dan mudah. Contohnya seperti figura manusia digambarkan tanpa menitikberatkan bentuk formal dan asalnya.



KEPENTINGAN KREATIVITI PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pendidikan Seni Visual sering dipandang rendah dan dianggap sebagai matapelajaran yang tidak berapa penting dalam oleh sesetengah ibu bapa dan masyarakat negara ini. Hal ini mungkin terjadi kerana kurangnya pemahaman dari segi sumber maklumat dan rujukan yang tidak tetap terhadap Pendidikan Seni Visual. Pendidikan seni ini penting dalam merealisasikan masyarakat kearah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana kepentingan matapelajaran pendidikan yang lain. Kreativiti dalam pendidikan seni sudah lama memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan, Cuma ianya kurang disedari kerana tidak nampak secara kasarnya. Namun, secara sedar atau tidak, kreativiti dalam pendidikan seni visual ini telah pun disemai dan diamalkan sejak generasi awal lagi, daripada zaman batu hinggalah zaman moden hari ini, dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke peringkat dewasa. Seni bukan sahaja hanya mengajar seseorang itu melukis, mewarna namun mendidik untuk mengenali dan menghayati keindahan dan kecantikan serta memupuk nilai-nilai estetika dan nilai-niali kemanusiaan dalam diri manusia. Seni harus dilihat sebagai subjek yang mampu ‘mengubati’ permasalahan yang berlaku dalam jiwa manusia.

Seni memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan perubahan masyarakat. Seni wajar diletakkan pada landasan yang betul dalam arena pembangunan manusiawi. Kefahaman yang cetek yang mengatakan seni tidak menjanjikan kerjaya yang baik perlu dikikis. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada kita sedari atau tidak sebenarnya telah kita meletakkan seni di tempat yang sewajarnya. Pendidikan seni itu sebenarnya telah bermula lebih awal lagi, iaitu di zaman kanak-kanak. Pendidikan yang diberikan itu berlaku secara tidak lansung dan tanpa disedari. Contohnya, ibu bapa telah mendidik anak-anak mereka mengenal alat-alat permainan. Mereka menunjukkan bentuk-bentuk permainan kepada kanak-kanak. Pada alatan permainan tadi, terdapat pelbagai warna dan bereneka jenis rupa bentuknya. Apabila melihatnya, kanak-kanak itu akan meluahkan rasa hatinya. Apakah warna yang disukainya. Jenis-jenis permainan serta apa yang disayanginya. Selain gemar kepada barangan permainan, kanak-kanak juga suka menconteng. Apa sahaja yang boleh digunakan atau yang difikirkan sesuai, akan digunakan untuk menconteng. Kesempatan itu digunakan untuk melahirkan ideanya.



PERANAN PENDIDIKAN SENI VISUAL

Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan, pertama ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan faktor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik. (Laura H.Chapman, 1978)

Peranan kedua ialah memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesa r mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkubur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu.

Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa.

Keempat, peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu.

Kelima pula ialah memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterusya seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan amalan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.

Peranan keenam ialah melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya. Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya . Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan kearah cita-cita yang murni ini.



KREATIVITI PENDIDIKAN SENI VISUAL DAN KELEBIHANNYA

Pendidikan Seni banyak mempersiapkan individu untuk ke dunia kerjaya. Ramai pendidik berpendapat seni wajar dijadikan mata pelajaran teras di sekolah. Ramai berpendapat seni mempunyai potensi untuk dikembangkan. Seni dapat membantu dalam pelbagai bidang. Menurut Hanna (1994), seni membantu dalam ; kerjasama dan kasih sayang, merancang dan melaksanakan, kemahiran berfikir, adaptasi dengan orang lain, mengembangkan bakat, mengambil risiko dan membuat keputusan, harga diri/yakin diri, kerjasama, kemahiran menyelesaikan masalah, perkembangan emosi, membina kreativiti, disiplin diri, menjadi rakyat yang baik, menjadi seorang dewasa yang berdikari dan meluahkan perasaan.

Cara pembelajaran yang terbaik ialah melalui seni. Kemahiran berfikir secara abstrak dan kemahiran kreatif boleh dirangsang melalui mata pelajaran seni. Hidup pada hari ini terlalu banyak maklumat. Amat mustahil untuk kita memperoleh dan menyimpan semua info atau maklumat. Seni berbeza kerana ia bersifat abstrak. Kadangkala apabila kita melihat lukisan sahaja, kita akan berasa tenang. Jelas kepada kita, seni sebagai ekspresi diri. Proses memupuk dan mengembangkan kreativiti para pelajar boleh dilakukan dalam seni melalui : pertama ialah penyoalan. Iaitu rangsangan melalui proses penyoalan melalui sesi kritikan seni. Kedua ialah penemuan. Contohnya seperti penemuan baru melalui penyelidikan dan kajian. Ketiga ialah pemerhatian. Ianya tidak hanya tertumpu kepada deria pengamatan semata-mata sebaliknya turut melibatkan deria sentuhan dan sebagainya. Keempat ialah percubaan. Ia merupakan usaha berterusan bagi mendapatkan hasil terbaik. Individu yang kreatif akan terus bereksperimentasi bagi mendapatkan kesan dan hasil yang diinginkan. Kelima ialah penerokaan. Penerokaan dan eksplorasi merujuk kepada galakan untuk memanipulasi pelbagai barangan dan alat yang terdapat di sekeliling dan menggunakan objek dan bahan yang terdapat di sekeliling tersebut untuk dijadikan hasilan seni. Akhir sekali ialah aktiviti/bermain. Kreativiti dapat dirangsang melalui aktiviti bermain melalui permainan yang berbentuk akademik.

Namun begitu, seni tidak diberi kepentingan yang sepatutnya di sekolah-sekolah. Tidak ramai guru yang berkelulusan dan berkelayakan mengajar seni di peringkat rendah. Hakikatnya Seni bersifat subjektif, dan bukan semua guru boleh mengajar seni. Ia tidak bersifat fakta malahan terdapat guru-guru yang tidak kreatif dan tiada kemahiran dalam seni dipaksa mengajar seni. Ini memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak didiknya. Disebabkan seni itu sifatnya abstrak maka tiada istilah tentang lukisan yang betul atau yang salah. Jawapan boleh diberi berdasar kreativiti dan pengalaman seseorang individu menginterpretasi tentang lukisan itu sendiri. Seni banyak memberi manfaat kepada para pelajar. Ia tidak boleh diukur secara objektif.

Patricia James (1999), menyatakan pelajar belajar kemahiran kreatif dan kritis melalui seni ini. Seni dianggap sebagai terjemahan metafora dan ekspresi emosi sama juga seperti sastera dalam bentuk tulisan. Untuk mendapat kemahiran dalam seni, seseorang perlu berani bermain dengan pengetahuan, pengalaman dan perasaan.

James dalam ”Ideas in Practice” (1999), menyatakan seni mengasah bakat kreativiti dan kemahiran kritikal. Kini kreativiti boleh diajar dalam bilik darjah. Realitinya seni mempunyai tujuan dan proses yang terkandung di dalamnya tiada kesudahan. Justeru guru perlu kreatif untuk mengcungkil bakat dan potensi pelajar. Pendekatan seni membantu individu dalam aspek-aspek tertentu.

Selain dari itu keaslian dan pemikiran yang tajam dilabelkan sebagai ”gifted child” (individu yang berbakat/berpotensi). Adalah menjadi satu kesukaran untuk mengajar individu yang ”gifted” kerana mereka mudah dan cepat berasa bosan. Ini kerana ’gifted’ child boleh belajar proses idea-idea yang lebih kompleks dan berupaya mengolahnya dengan menggunakan konsep tersendiri. (dipetik dari Education of Gifted). ”Gifted student” mempunyai keperluan-keperluan yang berbeza dengan pelajar biasa. Pelajar dari kumpulan ini akan mudah merasa bosan jika kurikulum tidak sentiasa diperbaharui. Ini kerana kumpulan pelajar ini sentiasa ingin terus mempelajari sesuatu yang sentiasa baru. Berdasar dapatan melalui jurnal-jurnal pendidikan, kebanyakan negeri di US menyatakan 5 % hingga 10% daripada pelajar mereka adalah ’gifted’. Selaras dengan perkembangan teknologi moden, kini pembelajaran jarak jauh, e-learning, video conference, semuanya memudahkan seseorang untuk mendapatkan segulung ijazah. Malahan soalan-soalan boleh diajukan melalui panggilan telefon sahaja.







PENGARUH SENI DALAM AKADEMIK

Pendidikan Seni juga dapat membantu pelajar-pelajar yang berisiko. Alkema (1971) menjelaskan bagaimana seni boleh membantu pelajar yang kurang upaya (OKU). Seni boleh membantu pelajar berfikir sendiri, ekspresi diri, perkembangan mental dan penemuan-penemuan idea baru, mencari penyelesaian baru, kesedaran mental, pemerhatian dan imbas semula pengalaman-pengalaman masa lalu. Seni membantu individu menyelesaikan konflik diri.

Menurut satu kajian, pelajar yang mengambil mata pelajaran seni lulus dengan keputusan 100%. Apa yang menariknya dalam kajian ini pelajar-pelajar yang cenderung gagal telah lulus dalam mata pelajaran ini. Para pendidik telah berpendapat bahawa apabila kita menggunakan lebih daripada satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) iaitu lisan, penglihatan dan kinestetik, pengukuhannya adalah jauh lebih baik.

Kesabaran dalam seni mengajar seseorang individu agar bersabar, dan terus berusaha dalam mata pelajaran yang lain. Seni sebagai satu mata pelajaran yang menarik dan memberi ruang untuk ekspresi diri tetapi perlu juga berdisiplin dan bertanggungjawab. Sebagaimana yang kita ketahui selain kekuatan yang ada dalam mata pelajaran seni ini, ia juga merupakan satu mata pelajaran yang ’adventure’ atau mencabar dan indah. Justeru, seni perlu kepada seseorang yang kebal dengan kritikan.

John Adams (2000) pernah menyatakan bahawa seseorang individu itu sering berkonflik dengan keinginan diri sendiri dan kita semua sering mengaitkannya dengan wang ringgit dan kehendak diri. Pada pendapat kita apa-apa yang tidak memberikan pulangan wang ringgit adalah tidak berguna. Tetapi seni merupakan sesuatu yang unik dan menarik yang patut dipelajari. Kita tidak boleh mengabaikan pendidikan seni di sekolah. Dulu seni hanya dipelajari oleh golongan bangsawan yang kaya raya, tetapi kini seni boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, semua golongan tidak kira miskin ataupun kaya. Adalah satu kerugian jika tidak mempelajari seni kerana ianya sesuatu yang cukup bermakna dalam menjalani kehidupan seharian.

Seni kini boleh dipelajari di sekolah-sekolah menengah dan wajar ianya diwajibkan sebagai mata pelajaran teras atau utama di sekolah-sekolah menengah. Tetapi ada yang tidak dapat menerima seni dengan alasan ianya tidak sesuai dan agak lucah. Ini kerana kadangkala gambar-gambar bogel atau separa bogel sering disalah ertikan. Punca keadaan ini adalah disebabkan pengetahuan tentang seni terlalu cetek dan mereka tidak lihat seni itu sebagai sesuatu yang bermakna penuh dengan simbol-simbol atau metafora (perlambangan).
Hasil seni dan produk seni sebenarnya hasil dari pengumpulan idea, emosi, perasaan dan dibantu dengan ilmu-ilmu lain maka tercipta hasil seni yang dibanggakan. Justeru seni amat penting dalam kehidupan mereka dan merupakan sebahagian dari kehidupan. Cuma menjadi persoalan apabila pendedahan seni itu tidak diperjelaskan secara langsung kepada masyarakat. Perlakuan negatif dari pengamal menyebab seni diperlekehkan. Sedangkan seni sebagai agen perubahan masyarakat dan bukan hanya untuk golongan lemah sahaja (pelajar lemah). Justeru guru yang baik dan berkesan dalam P&P Pendidikan Seni akan menjelaskan tentang kepentingan penghayatan dalam setiap kegiatan seni. Ini diperjelaskan oleh Robinson (1990); ”making and appraising are both.... of equal and fundamental importance in art education : each Is important in itself”.

1 comment: