DEFINISI   KREATIVITI 
Perkataan  kreativiti  berasal  daripada  perkataan  bahasa  Latin  iaitu  ”creare”  yang  membawa  maksud ”membuat”,  manakala  daripada  perkataan  Greek  pula  ”creare”  bermaksud   ”memenuhi”.  Menurut  Kamus  Dewan(2002)  pula  mentakrifkan  kreativiti  sebagai  satu  kemampuan  atau  kebolehan mencipta  daya  kreatif  dan  kekreatifan. 
Kreatif  pula  adalah  mempunyai  kebolehan  untuk  mencipta,  menghasilkan  dan mengembangkan  sesuatu  idea  baru  dan  asli.  Kesimpulannya  kreativiti  adalah  kebolehan  dan  kemampuan  seseorang  menghasilkan  sesuatu  yang  kreatif,  baru  dan asli.  Terdapat  juga  yang  mendefinisikan  kreatif  dan  kreativiti  sebagai  penghasilan  sesuatu  yang  tiada  atau  tidak  wujud  sebelumnya. 
KONSEP  KREATIVITI 
Ellis  Paul  Torrance  atau  lebih  dikenali  sebagai  Paul  Torrance  merupakan penyelidik  dan  ahli  akademik  yang  tersohor  dalam  bidang  kreativiti.  Karya-karya penyelidikannya  dalam  mendalami  bidang  ini  telah  berjaya  mengembangkan  bidang kreativiti  dan  beliau  telah  diiktiraf  dengan  gelaran  Bapa  Kreativiti.  Beliau  mengatakan  bahawa  ujian  IQ  bukanlah  satu-satunya  cara  mengukur  daya  kreativiti  seseorang  dan beliau  telah  memperkenalkan  instrumen  untuk  menguji  tahap  kreativiti  seseorang  menggunakan  ”Torrence  Test  of  Creative  Thinking”.  Terdapat  juga  beberapa  pendapat  daripada  tokoh  Seni  Visual  tentang  kreativiti.  Antaranya  adalah  ; 
Lowenfeld(1975),  beliau  percaya  bahawa  setiap  kanak-kanak  dilahirkan  kreatif. Penyataan  ini  disokong  dengan  sifat  semulajadi  kanak-kanak  yang gemar  meneroka dan  penuh  dengan  perasaan  ingin  tahu. 
June  King  McFee  mentakrifkan  kreativiti  sebagai  keupayaan  seseorang mencipta  sesuatu  yang  baru  atau  mampu  mengolah  idea  baru  yang  lain  yang  lebih  bermakna. Seni  tidak  terhad  kepada  hasil  karya  seni  sahaja  tetapi  juga  melibatkan  pengalaman estetika.  Seni   ialah  satu  bentuk  komunikasi  yang  dipengaruhi  oleh  konteks  budaya. 
Carl  Rogers  pula  menggariskan  5  faktor  di  mana  ianya  mendorong  kepada  pembentukkan  kreativiti  sama  ada  dalam  bidang  seni  atau  sains.  Faktornya  adalah  seperti  keterbukaan  dan  fleksibel  kepada  pengalaman,  menikmati  kehidupan  yang dialami,  menghargai  diri  sendiri,  mengamalkan kebebasan  dan  menjadi  individu  yang peka  dan  sensitif  dengan  persekitaran. 
CIRI – CIRI  KREATIVITI  DALAM  SENI  VISUAL 
Seseorang  kreatif  dikatakan  sebagai  insan  yang  mempunyai  daya  kreativiti,  imaginatif dan  nilai  estetik  yang  tinggi.  Pendidikan  Seni  bertujuan  untuk  melahirkan  ramai  insan  yang  mempunyai  kreativiti  dengan  melatih  dan  mendidik  pelajar  agar  dapat  membentuk  sahsiah  yang  positif  dengan  memiliki  sifat-sifat  kreatif  dan  daya  kreativiti  yang  unggul.  Oleh itu,  ciri-ciri  seseorang  yang  mempunyai  nilai  kreativiti  adalah  seperti  berikut  : 
Mempunyai  daya  persepsi  yang  tinggi  dan  mereka  peka  dan  gemar  untuk  melihat  kekuatan  nilai  dan  makna  pada  objek  dan  alam,  mendengar  bunyi  kehidupan  di sekeliling  mereka,  sedar akan  apa  yang  dirasa  dan  disentuh  serta  peka  terhadap  sesuatu bau  yang  dihidu. 
Selain  itu,  ciri-ciri  seseorang  yang  kreatif  adalah  mempunyai  daya  dan  kemampuan  untuk  membina/mencipta  idea  sendiri  ataupun  menggubah  sesuatu  idea/benda  yang  asal  kepada  sesuatu  yang  baru  atau  berbeza  dari  yang  asal. Ia  boleh  dilakukan  dengan  penggunaan  teknik atau  gaya  yang  berbeza  dengan  memanipulasikan  idea  tersebut  dengan  pelbagai  cara.  Seseorang  itu  juga  perlu  meneroka  dan  mencuba  dengan  pelbagai  dan  pendekatan  dengan cara  tersendiri  bagi  menyelesaikan  permasalahan  sesuatu  idea/ciptaan tersebut  dan  untuk  itu,  perlulah  mempunyai  daya  imaginasi  yang tinggi  dan  berupaya  berfikir  secara  ‘extraordinary’(lebih  dari  biasa) 
Seseorang  yang  kreatif  juga  haruslah  suka  mencuba,  meneroka  sesuatu  yang  baru  samada  dengan  menggunakan  cara-cara  baru  dan  inventif  menggabungkan  idea  dan  imej.  Individu  tersebut  juga  harus  mampu  mengimpikan  dan  memikirkan  kemungkinan-kemungkinan  baru  yang  berlainan  dari  biasa.  Oleh  itu,  dia  haruslah  berupaya  berimaginasi  dan  mewatakkan  sesuatu  dan  berfikiran  tulen  dan  asli  dalam  menghasilkan  sesuatu. 
Suka  untuk  mengkaji  dan  menyelidik  serta  dapat memberi  makna  dan  pengertian  terhadap  sesuatu  ciptaan/idea  juga  antara  ciri-ciri  seorang  yang kreatif.  Dia  juga  akan  selalu  bertanya  dan  mencari  penjelasan  bagi  sesuatu  persoalan serta  akan  berusaha  mencari  penemuan  baru  mengenai  hubungkait  antara  idea  dan  bahan. 
Selain  daripada  itu  juga,  seseorang  yang  kreatif  juga  peka  terhadap  nilai  estetik.  Seseorang  itu  lebih  tertarik  terhadap  nilai  keindahan,  kecantikkan,  keunikkan,  kelainan,  dan  keharmonian  terhadap  sesuatu  objek,  alam  dan  kehidupan.  Individu  tersebut  juga  dapat  merasakan  nilai  rentak,  irama,  dan  harmoni  terhadap  apa  yang  dilihat  dan  dihasilkan. 
Akhir  sekali  ialah  ciri-ciri  keyakinan  diri.  Seseorang  yang  kreatif  dapat  menggunakan  pendekatan  yang  fleksibel  mengikut  situasi  dan  keperluan.  Ia  juga  boleh  berdikari  dan  mempunyai  kekuatan  perasaan  dan  emosi  serta  dapat  membuat  pernyataan  diri.  
TAHAP  PERKEMBANGAN  KREATIVITI  DALAM  SENI  VISUAL 
Terdapat  beberapa  pendapat  tentang  tahap  perkembangan  kreativiti  dalam  seni  visual.  Pendapat  pertama  adalah  daripada  Peter Mc Keller (1967)  yang  menyatakan  tahap  perkembangan  kreativiti  sebagai  berperingkat  iaitu  peringkat  persediaan,  pengeraman,  penjelasan,  penentuan  dan  pencernaan. 
Pendapat  seterusnya  pula  adalah  daripada  Viktor  Lowenfeld (1969).  Beliau  menyatakannya  sebagai  tahap-tahap  perlakuan  dan  tindakan  iaitu  kepekaan,  kelancaran,  keanjalan,  memberi  makna  dan  pengertiaan  baru,  analisis,  sintesis,  kejelasan  dan  ketekalan  mengorganisasi. 
Pendapat  seterusnya  oleh  Poincar (1970)  ianya  menjelaskan  peringkat-peringkat  berikut  sebagai  proses  kreativiti  iaitu  mengenalpasti,  penjelasan,  tidak  pasti,  pandag  timbang  dan  rasionalisasi  dan  pendapat  dari  Laura H.Chapman  yang  menyatakannya  dalam  bukunya  berjudul  ‘Approach to Art in Education’.  Didalam  buku  tersebut  menyatakan  kajian  tentang  teori-teori  peringkat  penghasilan  kerja  dan  tahap  kreativiti  dan  menjelaskan  bahawa  proses  artistik  adalah  merupakan  fasa-fasa  tidak  semestinya  sentiasa  bersifat  tekal  dan  sekuens.  Kandungannya  menjelaskan  bahawa  tahap  perkembangan  kreativiti  dan  artistik  dibahagikan  kepada  tiga  fasa  utama,  iaitu  perwujudan  idea,  perkembangan  dan  penghalusan  idea  dan  kemahiran  idea.  
Menurut  Fisher pula,  perkembangan  kreativiti  dalam  pendidikan  seni  visual  terbahagi  kepada  lima  peringkat.  Pertama  ialah  peringkat  ransangan.  Minda  pelajar  perlu  diransang  dengan  pelbagai  soalan  kritikal  seperti  apa,  mengapa,  siapa,  dimana  dan  bagaimana.  Contohnya seperti  ‘Mengapa  warna  yang  gelap  akan  menampakkan  ruang  menjadi  kecil  dan  sempit?’,  ‘bagaimankah  untuk  menampakkan  permukaan  dan  ruang  sesuatu  menjadi  luas  dan  terang?’.  Peringkat  kedua  ialah  Peringkat  penerokaan.  Peringkat  ini  terjadi  apabila  peringkat  ransangan  telah  berjaya  meransang  pelajar  untuk  berusaha  menjawab  persoalan  yang  dikemukakan  oleh  guru  berdasarkan  permasalahan  yang  timbul.  Dengan  ini,  ianya  akan  mengajak  pelajar  tersebut  untuk  meneroka  permasalahan  tersebut  bagi  menyelesaikannya.  Perngkat  ketiga  pula  ialah  peringkat  perancangan.  Peringkat  ini  akan  menggalakkan  pelajar  untuk  berfikiran  kreatif  untuk  merancang  dan  memetakan  semua  aktiviti  dan  merekodkan  segala  kemungkinan.  Aktiviti  pada  peringkat  ini  akan  dilakukan  menggunakani  dua  cara  iaitu ;  perancangan  secara  verbal  melalui  perbincangan,  pemerhatian,  interaksi  dan  sebagainya  dan  perancangan  secara  visual  melalui  visual,  graf,  imej  lukisan  dan  sebagainya.  Peringkat  keempat  pula  ialah  peringkat  aktiviti.  Ianya  bermula  dengan  set  idea.  Ianya  untuk  melahirkan  pemikiran  kreatif  perlu  merancang  segala  aktiviti.  Pada  peringkat  ini  segala  perancangan  dibantu  melalui  persoalan-persoalan  seperti  “bagaimana  harus  kita  mengambil  tindakan  keatas  cadangan  tersebut”.  peringkat  terakhir  adalah  peringkat  kajian  semula.  Peringkat  ini  menilai  keberkesanan  tindakan  yang  telah  diambil  bagi  proses  penambahbaikan  selain  melihat  pencapaian  objektif  kerja.  Pelajar  digesa  memberi  pendapat  dan  komen  terhadap  apa  yang  telah  dilalui  sebagai  satu  bentuk  refleksi  diri. 
KAEDAH  PENJANAAN  KREATIVITI 
Laura H.Chapman  meletakkan  tiga  kaedah, iaitu  yang  pertama ;  
kaedah  penjanaan  idea (inception  of  idea).    Ia beerti,  dalam  penjanaan  sesuatu  idea,  pengkarya  perlu  menetapkan  objektif,  haluan  dan  tujuan  penghasilan  karya.  Kedua  adalah  pengolahan  dan  pemurnian (elaboration  and  refinement).  Ianya  melakukan  satu    proses  pengolahan  dan  pemurnian  idea    bagi  mendapatkan  kajian  visual  yang  lebih  sistematik  dan  tersusun.  Proses  ini  untuk  memastikan  imej  atau  visual  yang  hendak  dihasilkan  atau  dipilih  bertepatan  dengan  tema  dan  objektif  penghasilan.  Akhir  sekali  adalah  kaedah  kemahiran  menggunakan  bahan (execution  in  medium).  Kaedah  ini  adalah  dengan  memberi  bimbingan  penggunaan  bahan  dan  teknik  penggunaan  serta  penghasilan  diberikan  melalui  demonstrasi  menunjukkan  cara  agar  pemilihan  bahan  mempunyai  makna  dan  nilai  tersendiri. 
SIFAT-SIFAT  KREATIVITI 
Terdapat  beberapa  sifat  kreativiti  menurut  Calvin W.Taylor,  iaitu ; 
Kreativiti  bersifat  ekspresif.  Kreativiti  ini  berlaku  secara  rawak  dan  bebas.  Kreativiti  ini  juga boleh  dilihat  melalui  lukisan  kanak-kanak  yang  dihasilkan  secara  spontan  dan  bebas  mengikut  kemampuan  sesuai  dengan  perkembangan  fizikal  yang  belum  stabil.  Pada  peringkat  ini,  gambaran  dihasilkan  menggunakan  garisan,  lorekkan dan  contengan  yang  mudah.  Kreativiti  bersifat  penghasilan.  Kreativiti  ini  terhasil  melalui  proses  penambahbaikkan  kemahiran  sedia  ada  kepada  kaedah  yang  lebih  sistematik  dan  tersusun  rapi.  Seterusnya  adalah  kreativiti  bersifat  inventif.  Ianya   merujuk  kepada  keupayaan  mencipta  benda  atau  objek  melalui  proses  eksperimentasi.  Pada  peringkat  ini,  motivasi  dan  galakkan  diberi  untuk  mengelakkan  timbul  rasa  bosan  dan  putus  asa  dalam  diri  pelajar.  Selain  daripada  itu  juga,  kreativiti  bersifat  inovatif.  Ianya  melibatkan  kemahiran  pengubahsuaian  kepada  konsep-konsep  asas  sedia  ada  kepada  kepada  ideaa baru  yang  lebih  bermakna.  Akhir  sekali  adalah  kreativiti  bersifat  emergen.  Ianya  merupakan  bentuk  kreativiti  tinggi  di  mana  keseluruhan  prinsip  formal  diterjemahkan  dan  muncul  dalam  bentuk  abstrak  dan  mudah.  Contohnya  seperti  figura  manusia  digambarkan  tanpa  menitikberatkan  bentuk  formal  dan  asalnya. 
KEPENTINGAN  KREATIVITI  PENDIDIKAN  SENI  VISUAL 
Pendidikan  Seni  Visual  sering  dipandang  rendah  dan  dianggap  sebagai  matapelajaran yang  tidak  berapa  penting  dalam  oleh  sesetengah  ibu bapa dan  masyarakat  negara  ini.  Hal  ini  mungkin  terjadi  kerana  kurangnya  pemahaman  dari  segi  sumber  maklumat  dan  rujukan  yang  tidak  tetap  terhadap  Pendidikan  Seni  Visual.  Pendidikan  seni  ini  penting  dalam  merealisasikan  masyarakat  kearah  kehidupan  yang  lebih  sempurna  seperti  mana  kepentingan  matapelajaran  pendidikan  yang  lain.  Kreativiti  dalam  pendidikan  seni  sudah  lama  memainkan  peranan  penting  dalam  dunia  pendidikan,  Cuma  ianya  kurang  disedari  kerana  tidak  nampak  secara  kasarnya.  Namun,  secara  sedar  atau  tidak,  kreativiti  dalam  pendidikan  seni  visual  ini  telah  pun  disemai  dan  diamalkan  sejak  generasi  awal lagi,  daripada  zaman  batu  hinggalah  zaman  moden  hari  ini,  dari  peringkat  kanak-kanak  hinggalah  ke  peringkat  dewasa.  Seni  bukan  sahaja  hanya  mengajar  seseorang  itu  melukis,  mewarna  namun  mendidik  untuk  mengenali  dan  menghayati  keindahan  dan  kecantikan  serta  memupuk  nilai-nilai  estetika  dan  nilai-niali  kemanusiaan  dalam  diri  manusia.  Seni  harus  dilihat  sebagai  subjek  yang  mampu  ‘mengubati’  permasalahan  yang  berlaku  dalam  jiwa  manusia. 
Seni  memainkan  peranan  penting  dalam  pembangunan  manusia  dan  perubahan masyarakat.  Seni  wajar  diletakkan  pada  landasan  yang  betul  dalam  arena pembangunan  manusiawi.  Kefahaman  yang  cetek  yang  mengatakan  seni  tidak menjanjikan  kerjaya  yang  baik  perlu  dikikis.  Pendidikan  yang  diterima  oleh  manusia sama  ada  kita  sedari  atau  tidak  sebenarnya  telah  kita  meletakkan  seni  di  tempat yang  sewajarnya.  Pendidikan  seni itu  sebenarnya  telah  bermula  lebih  awal  lagi,  iaitu  di  zaman  kanak-kanak.  Pendidikan  yang  diberikan  itu  berlaku  secara  tidak  lansung dan  tanpa  disedari.  Contohnya,  ibu  bapa  telah  mendidik  anak-anak  mereka  mengenal alat-alat  permainan.  Mereka  menunjukkan  bentuk-bentuk  permainan  kepada  kanak-kanak.  Pada  alatan  permainan  tadi,  terdapat  pelbagai  warna  dan  bereneka  jenis  rupa bentuknya.  Apabila  melihatnya,  kanak-kanak  itu  akan  meluahkan  rasa  hatinya.  Apakah warna  yang  disukainya.  Jenis-jenis  permainan  serta  apa  yang  disayanginya.  Selain gemar  kepada  barangan  permainan,  kanak-kanak  juga  suka  menconteng.  Apa  sahaja yang  boleh  digunakan  atau  yang  difikirkan  sesuai,  akan  digunakan  untuk  menconteng.  Kesempatan  itu  digunakan  untuk  melahirkan  ideanya. 
PERANAN  PENDIDIKAN  SENI  VISUAL 
Antara  peranan  Seni  Visual  dalam  pendidikan,  pertama  ialah  memupuk  kreativiti  kanak-kanak.  Sifat  semula  jadi  bagi  seseorang  kanak-kanak  ialah  memerlukan  perhatian,  belaian,  sentuhan  dan  sebagainya.  Tanpa  kita  sedari perkembangan  seni  tampak  minda  kanak-kanak  berlaku  dengan  begitu  pesat  sekali. Sebelum  meningkat  remaja,  kanak-kanak  mengalami  tiga  tahap  perkembangan  seni tampak.  Peringkat  manipulatif  sekitar  umur  2  hingga  5  tahun.  Peringkat  melakar simbol-simbol  berumur  5  hingga  9  tahun  dan  peringkat  pra-remaja  iaitu  sekitar  umur 10  tahun  hingga  13  tahun.  Berdasarkan  kajian  oleh  ahli-ahli  psikologi  barat, perkembangan  seni  ini  berlaku  pada  setiap  kanak-kanak.  Perbezaan  mungkin  timbul ialah  berdasarkan  faktor  persekitaran,  bimbingan  berterusan  daripada  keluarga  atau latar  belakang  pendidikan.  Melalui proses  membentuk  kreativiti  dari  diri  kanak-kanak  itu akan  terbina  dengan  baik. (Laura H.Chapman, 1978) 
Peranan  kedua  ialah  memupuk  dan  mengembangkan  sifat  kreativiti  dan  inovatif  para pelajar.  Apabila  mencapai  umur  remaja  sekitar  10  hingga  15  tahun,  tahap  penguasaan  ilmu  yang  berkaitan  dengan  seni  mungkin  telah  bertambah.  Seseorang pelajar  itu  sudah  mula  menunjukkan   kecenderungan  untuk  mencipta  sesuatu  bentuk dengan  lebih  baik.  Pada  peringkat  ini,  sekiranya  pelajar  diberi  kesempatan  dan bimbingan  yang  betul  mengenai  seni,  maka  tahap  kematangan  kreativitinya  akan berkembang.  Menurut  Lowenfeld  dan  Lambert (1965)  pada  peringkat  ini  merupakan peringkat  yang  paling  konflik  dan  genting.  Pelajar  akan  mengalami  tekanan  untuk memilih  bidang  seni  sebagai  satu  bidang  utama  dalam  proses  membesa r mereka. Persaingan  di  kalangan  pelajar  berlaku  peringkat  ini.  Pelajar  yang  lemah  akan  mengalami  masalah  yang  dinyatakan  tadi.  Sekiranya  dibimbing  dan  diberi  penerangan yang  betul,  kemungkinan  minatnya  terhadap  seni  akan  terkubur.  Berbanding  dengan pelajar  yang  diberi  bimbingan  atau  nasihat  yang  positif.  Mereka  akan  menjadi  lebih berdisiplin,  cekal  dan  berminat  dengan  subjek  seni  itu. 
Ketiga  ialah  melahirkan  tenaga  professional  dalam  pelbagai  bidang.  Sebagai sebuah  negara  yang  sedang  membangun,  kita  amat  memerlukan  ramai  tenaga  professional.  Jurutera,  arkitek,  doktor,  saintis  dan  penguam  merupakan  bidang  kerjaya  yang  amat  diperlukan  oleh  negara.  Akibat  kekurangan  itu,  kita  terpaksa  mengimport  dari  luar  negara.  Dalam  bidang  kerjaya,  seni  boleh  memainkan  peranan  besar  untuk  membentuk  generasi  hari  ini  bagi  memilih  kerjaya  yang  sesuai  dengan  minat  mereka.  Selain  untuk  keperluan  negara,  pelajar  yang  memilih  bidang  ini  boleh  merancang  untuk  membentuk  satu  profesion  baru.  Menjadi  seniman  sepenuh  masa  contohnya.  Walaupun  negara  kita  masih  baru  dalam  bidang  ini,  namun  telah  terdapat  ramai  artis yang  mampu  hidup  mewah  dengan  menjadikan  seni  sebagai  satu  profesion  sepenuh  masa. 
Keempat,  peranan  seni  visual  dengan  cara  memupuk  dan  mendidik  sifat kecintaan  pada  seni  dan  estetika.  Negara  perlu  memikirkan  satu  kaedah  yang berkesan  bagaimana  seni  ini  perlu  dijadikan  teras  kepada  pembentukan  masyarakat. Seni  boleh  dijadikan  satu  formula  membentuk  masyarakat  yang  cinta  kepada  nilai-nilai  keindahan.  Pada  hari  ini  melalui  sebuah  agensi  kerajaan,  kita  melihat  beberapa agenda  penting  disambut  setiap  tahun.  Pelbagai  aktiviti  dan  perayaan  dianjurkan  oleh  kerajaan  dengan  pelbagai  bentuk  kebudayaan.  Antaranya  program  Tahun  Melawat Malaysia  anjuran  Kementerian  Kebudayaan,  Kesenian  dan  Pelancongan.  Selain  daripada  itu,  ada  pelbagai  program  lain  yang  dianjurkan  bertujuan  untuk  menarik  para pelancong.  Program  seperti  ini  wajar  diadakan  dan  dipergiatkan  lagi.  Namun  apa  yang  penting  di  sini  ialah  penglibatan  masyarakat  masih  lagi  tidak  menyeluruh.  Terutama  sekali  ialah  kesan  penghayatan  masyarakat  terhadap  aktiviti  yang  dijalankan  itu. 
Kelima  pula  ialah  memupuk  perasaan  sayang  pada  seni  dan  warisan  dalam masyarakat.  Masyarakat  kita  memang  kaya  dengan  khazanah  warisan  budaya.  Sebut sahaja  keperluan  harian  yang  digunakan  di  rumah  kita.  Pinggan  mangkuk,  peralatan  memasak,  ukiran  kayu,  seni  batik  dan  tenunan  atau  tekstil,  hamparan  tikar  mengkuang  atau  pandan,  anyaman  kelarai,  seni  binaan  rumah  kayu  atau  kampung  dan  seterusya  seni  budaya  sopan  santun  dan  adat  istiadat.  Seni  warisan  ini  sebenarnya  semakin  terpinggir  dan  hampir dilupakan.  Tidak  banyak  lagi  generasi  hari  ini  yang  mengamalkan  amalan  menghulurkan  tepak  sirih  apabila  menyambut   kedatangan  tetamu.  Kehidupan  moden  yang  dialami  hari  ini  telah  melupuskan  semua warisan  itu.  Seni  itu wajar  dipertahankan  daripada  hilang  terus  atau  mengalami  kepupusan.  Terdapat  banyak  contoh  yang  boleh  dijadikan  rujukan.  Seni  kraftangan  umpamanya  seperti  seni  anyaman  mengkuang  dan  seni  anyaman  kelerai.  Seni  tekat,  tembikar  dan  banyak  lagi  contoh  yang  boleh  diketengahkan.  Boleh  dikatakan  kepentingan  barangan  kraf  ini  tidak  lagi  menjadi  pilihan  masyarakat  kini. 
Peranan  keenam  ialah  melahirkan  masyarakat  yang  memiliki  jati  diri.  Budaya menunjukkan  bangsa.  Kata-kata  ini  jelas  kepada  kita  bahawa  sesebuah  masyarakat  itu  mesti  meletakkan  kepentingan  budaya  pada  satu  kedudukan  yang  tinggi  dalam masyarakatnya.  Mengekalkan  kebudayaan  mereka  supaya  ia  dikenali  dan  dihormati bukanlah  satu  tugas  yang  mudah.  Kita  boleh  mengesan  sesuatu  bangsa  melalui perkembangan  budayanya.  Ada  yang  berpendapat,  mengenali  sesuatu  bangsa  itu  lebih  mudah  dari  mengenali  budayanya.  Masyarakat  yang  memiliki  jati  diri  yang  kuat  akan  berusaha  untuk  mengekalkan  seni,   budaya  dan  warisannya . Kita  mestilah  meletakkan  tanggungjawab  di  bahu  masyarakat  akan  kepentingan  nilai  seni  dan estetika.  Kefahaman  dan  tanggungjawab  ini  perlu  dipupuk  di  peringkat  awal  lagi. Sekolah  dan  institusi  pengajian  tinggi  merupakan  tempat  yang  paling  wajar.  Peranan murid,  guru  atau  pendidik,  pensyarah,  dan  pihak  kementerian  pendidikan  amat  penting untuk  merealisasikan  perkara  ini.  Justeru,  selain  apa  yang  disebutkan  tadi,  semua masyarakat  juga  boleh  memainkan  peranan  menjadi  ahli  atau  individu  yang  ada  kepentingan  untuk  menjadi  warga  yang  dapat  memberikan  sumbangan  kearah  cita-cita  yang  murni  ini. 
KREATIVITI  PENDIDIKAN  SENI  VISUAL  DAN  KELEBIHANNYA 
Pendidikan  Seni  banyak  mempersiapkan  individu  untuk  ke  dunia  kerjaya.  Ramai pendidik  berpendapat  seni  wajar  dijadikan  mata  pelajaran  teras  di  sekolah.  Ramai berpendapat  seni  mempunyai  potensi  untuk  dikembangkan.  Seni  dapat  membantu dalam  pelbagai  bidang.  Menurut Hanna  (1994),  seni  membantu  dalam ;  kerjasama  dan  kasih  sayang,  merancang  dan  melaksanakan,  kemahiran  berfikir,  adaptasi dengan  orang  lain,  mengembangkan  bakat,  mengambil  risiko  dan  membuat  keputusan,  harga diri/yakin diri,   kerjasama,  kemahiran menyelesaikan masalah,  perkembangan emosi,  membina kreativiti,  disiplin diri,  menjadi rakyat yang baik,  menjadi seorang dewasa yang berdikari  dan  meluahkan perasaan. 
Cara  pembelajaran  yang  terbaik  ialah  melalui  seni.  Kemahiran  berfikir  secara abstrak  dan  kemahiran  kreatif  boleh  dirangsang  melalui  mata  pelajaran  seni.  Hidup pada  hari  ini  terlalu  banyak  maklumat.  Amat  mustahil  untuk  kita  memperoleh  dan menyimpan  semua  info  atau  maklumat.  Seni  berbeza  kerana  ia  bersifat  abstrak. Kadangkala  apabila  kita  melihat  lukisan  sahaja,  kita  akan  berasa  tenang.  Jelas   kepada  kita,  seni  sebagai  ekspresi  diri.  Proses  memupuk  dan  mengembangkan kreativiti  para  pelajar  boleh  dilakukan  dalam  seni  melalui  :  pertama  ialah  penyoalan.  Iaitu rangsangan  melalui  proses  penyoalan  melalui  sesi  kritikan  seni. Kedua  ialah  penemuan.  Contohnya  seperti  penemuan  baru  melalui  penyelidikan  dan  kajian.  Ketiga  ialah  pemerhatian.  Ianya  tidak  hanya  tertumpu  kepada  deria  pengamatan  semata-mata sebaliknya  turut  melibatkan  deria  sentuhan  dan  sebagainya.  Keempat  ialah  percubaan.  Ia  merupakan  usaha  berterusan  bagi  mendapatkan  hasil  terbaik.  Individu  yang  kreatif  akan  terus  bereksperimentasi  bagi  mendapatkan  kesan  dan  hasil  yang  diinginkan.  Kelima  ialah  penerokaan.  Penerokaan  dan  eksplorasi  merujuk  kepada galakan  untuk  memanipulasi  pelbagai  barangan  dan  alat  yang  terdapat  di  sekeliling dan  menggunakan  objek  dan  bahan  yang  terdapat  di  sekeliling  tersebut  untuk dijadikan  hasilan  seni.  Akhir  sekali  ialah  aktiviti/bermain. Kreativiti  dapat  dirangsang melalui  aktiviti  bermain  melalui  permainan  yang  berbentuk  akademik. 
Namun  begitu,  seni  tidak  diberi  kepentingan  yang  sepatutnya  di  sekolah-sekolah.  Tidak  ramai  guru  yang  berkelulusan  dan  berkelayakan  mengajar  seni  di peringkat  rendah.  Hakikatnya  Seni  bersifat  subjektif,  dan  bukan  semua  guru  boleh mengajar  seni.  Ia  tidak  bersifat  fakta  malahan  terdapat  guru-guru  yang  tidak  kreatif dan  tiada  kemahiran  dalam  seni  dipaksa  mengajar  seni.  Ini  memberi  kesan  yang  amat  buruk  kepada  anak-anak  didiknya.  Disebabkan  seni  itu  sifatnya  abstrak  maka tiada  istilah  tentang  lukisan  yang  betul  atau  yang  salah.  Jawapan  boleh  diberi berdasar  kreativiti  dan  pengalaman  seseorang  individu  menginterpretasi  tentang  lukisan itu  sendiri.  Seni  banyak  memberi  manfaat  kepada  para  pelajar.  Ia  tidak  boleh  diukur secara  objektif. 
Patricia  James  (1999),  menyatakan  pelajar  belajar  kemahiran  kreatif  dan  kritis melalui  seni  ini.  Seni  dianggap  sebagai  terjemahan  metafora  dan  ekspresi  emosi  sama  juga  seperti  sastera  dalam  bentuk  tulisan.  Untuk  mendapat  kemahiran  dalam seni,  seseorang  perlu  berani  bermain  dengan  pengetahuan,  pengalaman  dan  perasaan. 
James  dalam  ”Ideas in Practice”  (1999),  menyatakan  seni  mengasah  bakat kreativiti  dan  kemahiran  kritikal.  Kini  kreativiti  boleh  diajar  dalam  bilik  darjah.  Realitinya  seni  mempunyai  tujuan  dan  proses  yang  terkandung  di  dalamnya  tiada kesudahan.  Justeru  guru  perlu  kreatif  untuk  mengcungkil  bakat  dan  potensi  pelajar.  Pendekatan  seni  membantu  individu  dalam  aspek-aspek  tertentu. 
Selain  dari  itu  keaslian  dan  pemikiran  yang  tajam  dilabelkan  sebagai  ”gifted child” (individu yang berbakat/berpotensi).  Adalah  menjadi  satu  kesukaran  untuk mengajar  individu  yang  ”gifted”  kerana  mereka  mudah  dan  cepat  berasa bosan.  Ini kerana  ’gifted’  child  boleh  belajar  proses  idea-idea  yang  lebih  kompleks  dan  berupaya mengolahnya  dengan  menggunakan  konsep  tersendiri.  (dipetik dari Education of Gifted). ”Gifted student”  mempunyai  keperluan-keperluan  yang  berbeza  dengan  pelajar  biasa. Pelajar  dari  kumpulan  ini  akan  mudah  merasa  bosan  jika  kurikulum  tidak  sentiasa diperbaharui.  Ini  kerana  kumpulan  pelajar  ini  sentiasa  ingin  terus  mempelajari  sesuatu yang  sentiasa  baru.  Berdasar  dapatan  melalui  jurnal-jurnal  pendidikan,  kebanyakan negeri  di  US  menyatakan  5 %  hingga  10%  daripada  pelajar  mereka  adalah  ’gifted’. Selaras  dengan  perkembangan  teknologi  moden,  kini  pembelajaran  jarak  jauh,  e-learning,  video  conference,  semuanya  memudahkan  seseorang  untuk  mendapatkan segulung  ijazah.  Malahan  soalan-soalan  boleh  diajukan  melalui  panggilan  telefon sahaja. 
PENGARUH  SENI  DALAM  AKADEMIK 
Pendidikan  Seni  juga  dapat  membantu  pelajar-pelajar  yang  berisiko.  Alkema (1971) menjelaskan  bagaimana  seni  boleh  membantu  pelajar  yang  kurang  upaya (OKU).  Seni boleh  membantu  pelajar  berfikir  sendiri,  ekspresi  diri,  perkembangan  mental  dan penemuan-penemuan  idea  baru,  mencari  penyelesaian  baru,  kesedaran  mental,  pemerhatian  dan  imbas  semula  pengalaman-pengalaman  masa  lalu.  Seni  membantu individu  menyelesaikan  konflik  diri. 
Menurut  satu  kajian,  pelajar  yang  mengambil  mata  pelajaran  seni  lulus  dengan keputusan  100%.  Apa  yang  menariknya  dalam  kajian  ini  pelajar-pelajar  yang cenderung  gagal  telah  lulus  dalam  mata  pelajaran  ini.  Para  pendidik  telah  berpendapat  bahawa  apabila  kita  menggunakan  lebih  daripada  satu  kaedah Pengajaran  dan  Pembelajaran (P&P)  iaitu  lisan,  penglihatan  dan  kinestetik, pengukuhannya  adalah  jauh  lebih  baik. 
Kesabaran  dalam  seni  mengajar  seseorang  individu  agar  bersabar,  dan  terus berusaha  dalam  mata  pelajaran  yang  lain.  Seni  sebagai  satu  mata  pelajaran  yang menarik  dan  memberi  ruang  untuk  ekspresi  diri  tetapi  perlu  juga  berdisiplin  dan bertanggungjawab.  Sebagaimana  yang  kita  ketahui  selain  kekuatan  yang  ada  dalam mata  pelajaran  seni  ini,  ia  juga  merupakan  satu   mata  pelajaran  yang  ’adventure’  atau  mencabar  dan  indah.  Justeru,  seni  perlu  kepada  seseorang  yang  kebal  dengan kritikan. 
John  Adams (2000)  pernah  menyatakan  bahawa  seseorang  individu  itu  sering  berkonflik  dengan  keinginan  diri  sendiri  dan  kita  semua  sering  mengaitkannya  dengan wang  ringgit  dan  kehendak  diri.  Pada  pendapat  kita  apa-apa  yang  tidak  memberikan pulangan  wang  ringgit  adalah  tidak  berguna.  Tetapi  seni  merupakan  sesuatu  yang unik  dan  menarik  yang  patut  dipelajari.  Kita  tidak  boleh  mengabaikan  pendidikan  seni di  sekolah.  Dulu  seni  hanya  dipelajari  oleh  golongan  bangsawan  yang  kaya  raya, tetapi  kini  seni  boleh  dipelajari  oleh  sesiapa  sahaja,  semua  golongan  tidak  kira  miskin ataupun  kaya.  Adalah  satu  kerugian  jika tidak  mempelajari  seni  kerana  ianya  sesuatu yang  cukup  bermakna  dalam  menjalani  kehidupan  seharian. 
Seni  kini  boleh  dipelajari  di  sekolah-sekolah  menengah  dan  wajar  ianya diwajibkan  sebagai  mata  pelajaran  teras  atau  utama  di  sekolah-sekolah  menengah. Tetapi  ada  yang  tidak  dapat  menerima  seni  dengan  alasan  ianya  tidak  sesuai  dan agak  lucah.  Ini  kerana  kadangkala  gambar-gambar  bogel  atau  separa  bogel  sering disalah  ertikan.  Punca  keadaan  ini  adalah  disebabkan  pengetahuan  tentang  seni terlalu  cetek  dan  mereka  tidak  lihat  seni  itu  sebagai  sesuatu  yang  bermakna  penuh dengan  simbol-simbol  atau  metafora  (perlambangan).
Hasil  seni  dan  produk  seni  sebenarnya  hasil  dari  pengumpulan  idea,  emosi, perasaan  dan  dibantu  dengan  ilmu-ilmu  lain  maka  tercipta  hasil  seni  yang dibanggakan.  Justeru  seni  amat  penting  dalam  kehidupan  mereka  dan  merupakan sebahagian  dari  kehidupan.  Cuma  menjadi  persoalan  apabila   pendedahan  seni  itu tidak  diperjelaskan  secara  langsung  kepada  masyarakat.  Perlakuan  negatif  dari pengamal  menyebab  seni  diperlekehkan.  Sedangkan  seni  sebagai  agen  perubahan masyarakat  dan  bukan  hanya  untuk  golongan  lemah  sahaja (pelajar lemah).  Justeru guru  yang  baik  dan  berkesan  dalam  P&P  Pendidikan  Seni  akan  menjelaskan  tentang kepentingan  penghayatan  dalam  setiap  kegiatan  seni.  Ini  diperjelaskan  oleh  Robinson (1990);  ”making  and  appraising  are  both.... of  equal  and  fundamental  importance  in  art  education  :  each  Is  important  in  itself”.
 
alhamdulillah . terima kasih bmanfaat
ReplyDelete